Tuesday 27 March 2012

Buat Telur Masin

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

PERNAH menjamah telur masin yang tidak menepati selera? Kurang masin atau terlalu masin? Harganya pula semakin hari semakin mahal, pasti membuatkan kita membebel tidak puas hati.
Ada juga anak perantau yang tinggal atau belajar di luar negara teringin menikmati lauk telur masin. Jika sukar, apa salahnya hasilkan sendiri telur masin.
Ramai yang tidak tahu sebenarnya tidak sukar membuat telur masin. Memang agak lama menunggu tetapi proses membuatnya tidak sukar. Pasti puas hati menikmati telur masin buatan sendiri.

Jika bimbang, hasilkan beberapa biji dulu seperti panduan berikut:

Bahannya:
10 biji telur
1 jag air (2 liter)
500 gram garam (atau mengikut selera kemasinan sendiri)


Proses:

a) Pilih telur

- Telur itik yang terbaik tetapi boleh juga menggunakan telur ayam. Bukan semua orang mudah mendapatkan telur itik. Sebenarnya telur ayam pun boleh juga digunakan cuma telur itik lebih tebal kulitnya dan sesuai dijeruk sebagai telur masin. Ia juga dikatakan lebih tahan lama dan hasilnya lebih sedap berbanding telur ayam.

Di Malaysia tidak sukar mendapat telur itik bagi membuat telur masin tetapi sekiranya anda perantau di luar negara dan sukar mendapat telur itik, telur ayam boleh digunakan.

- Saiz bukan masalah utama cuma telur jangan terlalu nipis kerana kelak mudah pecah. Jangan terlalu besar kerana telur akan saling berlaga di dalam bekas penyimpanannya jadi risiko pecah perlu diminimumkan. Pilih warna telur yang kehijauan.

- Telur mesti sempurna, tidak boleh rosak ataupun pecah walau sedikit pun. Lubang halus pun tidak boleh kerana melalui lubang itu air boleh masuk dan merosakkan proses pemasinan telur.

- Mesti menggunakan telur yang baru dan segar.

b) Basuh telur sehingga bersih dan keringkan.

c) Masak air dan garam dengan api perlahan sehingga garam larut dan likat. Biar sehingga sejuk atau semalaman.

d) Tapis air garam bagi mendapatkan air garam yang betul-betul bersih tanpa kekotoran sampingan.

e) Masukkan telur ke dalam air garam tadi. Pastikan air garam cukup penuh untuk menenggelamkan semua telur sekali gus. Tutup bekas kemas-kemas.

f) Tulis tarikh di luar bekas penyimpanan supaya senang ingat tarikh pembuatannya.

g) Selepas dua minggu, telur sudah boleh direbus. Kemasinan telur bergantung pada air garam tadi dan sekiranya terlalu masin, boleh rendam di dalam air biasa sehari dua bagi mengurangkan masin sebelum direbus.

Terima kasih:

Omar Yatim (pengusaha sampingan ternakan itik dan telur itik) yang sudi berkongsi cara membuat telur masin dengan Harian Metro.

SUMBER DARI : http://www.hmetro.com.my/articles/Buattelurmasin/Article

No comments: